Beberapa bulan yang lalu, saya ada menerima beberapa soalan mengenai isu " Puteri Yang Hilang " dari pembaca blog saya di bawah tajuk " Keturunan Yam Tuan Negeri Sembilan " ( Dec 2012 ). Walaupun saya dibesarkan di Sri Menanti dan mengetahui susur galur dan salasilah Yamtuan, ini tidak bermakna saya juga mengetahui banyak perkara sulit dan rumit mengenai keluarga diraja.
Ditakdirkan Allah Subhana Wataala tergeraklah hati seorang pemuda bernama Borhan yang tinggal di Singapura bertanyakan perihal yang sama di dalam blog saya. Beberapa hari kemudian, beliau membuat panggilan dari Singapura dan bermulalah hubungan yang baik di antara kami berdua.
Melalui Whatsapp beliau mula menceritakan segala apa yang terpendam di lubuk hatinya kepada seseorang yang ingin mendengar dan bersimpati mengenai segala yang diketahui mengenai keluarganya yang akhirnya menjurus kepada isu " Puteri Yang Hilang ".
Segala apa yang disampaikan oleh saudara Borhan dengan hati yang ikhlas dan keringat yang ada, saya muatkan tajuk ini di dalam blog saya untuk tatapan beliau atau sesiapa saja yang berminat dan ingin mengetahui siapakah puteri Negeri Sembilan yang hilang itu dan apakah hubungannya dengan saudara Borhan.
Salam Hormat Dari Saya
MIZAN BIN ISMAIL
08 MAC 2017 |
Jikalau anda pernah membaca blog saya di bawah tajuk " Keturunan Yamtuan Negeri Sembilan " tentu anda akan menemui seorang Yamtuan yang bernama Tuanku Muhammad Ibni Tengku Antah
( Yamtuan ke 7 - 1888 sehingga 1933 )
TUANKU MUHAMMAD DAN TENGKU PUAN CHIK |
Menurut saudara Borhan puteri itu disembunyikan di Singapura dan diubah nama kepada YAM Cik ( mirip nama bondanya " Tengku Puan Chik " . Bermula dari kehilangan puteri baginda maka arahan dikeluarkan supayas segala peralatan dan kelengkapan puteri ini yang masih tinggal di istana dibuang ke dalam sungai supaya tidak meninggalkan apa-apa ingatan lagi. Atas sebab-sebab yang terlalu berahsia, maka tidak kedapatan sebarang gambar puteri ini ketika mudanya. Yang terdapat hanyalah dua keping gambar puteri ini yang telah lanjut umurnya.
( Setelah disiasat sekian lama akhirnya saudara Borhan menemui nama sebenar neneknya yang telah dirahsiakan berpuluh-puluh tahun dari pengetahuan umum sebagai Tengku Yam Sukma atau mungkin Tengku Yam Kesuma )
YAM CIK ( TENGKU YAM KESUMA ) |
YAM CIK ( TENGKU YAM KESUMA ) |
Apabila telah dewasa, YAM Cik bertemu jodoh dengan seorang lelaki bangsawan keturunan raja-raja Acheh yang bernama Cikgu Mat Ghanti. Beliau merupakan seorang yang warak, mengajar al-Quran kepada anak-anak muridnya di Singapura ketika itu. Walaupun menggelar dirinya sebagai Cikgu Mat Ghanti, murid-muridnya tetap memanggilnya Pak Ungku / Tengku. Hanya terdapat dua keping gambar yang memperlihatkan Cikgu Mat Ghanti di dalam koleksi keluarga Baharom. Menurut cerita Cikgu Mat Ganti adalah dari keturunan Raja Polem Acheh satu keturunan dengan Sultan Iskandar Mahkota Alam.
CIKGU MAT GHANTI BERGAMBAR BERSAMA RAJA MUDA PAGARUYUNG |
Setelah sekian lama berumah tangga, mereka berdua dikurniakan dua orang puteri. Seorang bernama Habibah yang dijaga oleh datuk angkat Borhan ( Muhammad Bin Hassan ). Oleh kerana mendapat layanan yang kurang memuaskan, datuk sebenar Borhan iaitu Cikgu Mat Ghanti mengambil keputusan untuk menyerahkannya kepada satu keluarga di Kedah untuk dibesarkan. Puteri kedua mereka bernama Aisyah Binti Shaffie ( nama yang didaftar di dalam kad pengenalan - bukan nama sebenar ) yang lahir pada tahun 1932 juga dinamakan secara sulit sebagai Tengku Badariah Binti Tengku Mahmud ( Cikgu Mat Ghanti ) oleh anak-anak mereka. Apabila Aisyah dilahirkan, YAM Cik sering berulang alik antara Singapura dan Negeri Sembilan. Takala itulah puteri Aisyah diserahkan kepada sepasang keluarga keturunan Boyan di Singapura. Mereka suka berpindah randah dan sukar dikesan tempat tinggal terakhir. YAM Cik akhirnya bertemu semula dengan keluarga tersebut dan Aisyah diserahkan semula kepada ibunya.
KELUARGA
BOYAN YANG DIAMANAHKAN MENJAGA DAN MEMBESARKAN AISYAH SEMASA KETIADAAN
YAM CIK YANG BERULANG ALIK DARI SINGAPURA KE NEGERI SEMBILAN |
Berita tentang Aisyah yang telah remaja akhirnya kedengaran di istana Sri Menanti lalu diutus beberapa orang untuk pergi menyiasat dan membawa pulang cucu Tengku Muhammad itu untuk dibesarkan di sini ( NS ). Segala usaha dilakukan supaya Aisyah tidak dapat dibawa pulang oleh datuk angkat Borhan yang bernama Muhammad Bin Hassan. Datuk angkat kepada Borhan ini telah melakukan sedaya upaya untuk mengelak Aisyah daripada dibawa pulang ke Sri Menanti dengan menyembunyikannya di Istana Sultan Abu Bakar di Tarysal kebun bunga Singapura. Kerana wajahnya yang rupawan, Aisyah pernah dipinang oleh kerabat diraja Johor dan juga hartawan emas di Singapura. Kedua-duanya ditolak oleh datuk angkat Borhan. Aisyah akhirnya bertemu jodoh dengan seorang pemuda yang bernama Muhammad Yusoff keturunan Gujerat atas restu dan pilihan datuk angkat Borhan.
AISYAH KETIKA MUDANYA |
WAJAH AISYAH YANG MENJADI REBUTAN KAUM KERABAT SULTAN JOHOR |
Setelah sekian lama Cikgu Mat Ghantipun meninggal dunia. Berita kematiannya kedengaran di Sri Menanti dan semenjak itu tiada apa-apa usaha dilakukan untuk membawa pulang mereka lagi. Patah tumbuh hilang berganti, akhirnya YAM Cik bertemu jodoh sekali lagi dengan sahabat datuk angkat Borhan yang bernama Mahadi seorang pemandu teksi di Singapura. Mereka dikurniakan lima orang cahaya mata. Tahun-tahun selepas itu YAM Cik jatuh sakit dan meninggal dunia pada 22hb. Jun. 1998 dan dikebumikan di suatu kawasan di Singapura yang sangat dirahsiakan oleh keluarga Borhan sehinggalah sekarang.
NAMA YANG DIGUNAKAN AGAK BERLAINAN DENGAN NAMA YANG DIKENALI OLEH KAUM KERABAT MEREKA. |
Dari keterangan yang diberi, dari mula lagi kita mendapati bahawa saudara Borhan bukanlah orang asing lagi. Darah yang mengalir di tubuhnya adalah darah dari keturunan Yamtuan Negeri Sembilan. Dengan lain perkataan Borhan adalah cicit kepada Tengku Muhammad dan piut kepada Yamtuan Antah kerana neneknya YAM Cik adalah satu-satunya anak kepada pasangan Tuanku Muhammad dengan Tengku Ampuan Chik. Beliau adalah bekas Senior Staff Angkatan Polis Laut Singapura dan sekarang bekerja sebagai Seimiologist .
SANAK
SAUDARA KEDUA BELAH PIHAK BERKUMPUL DI HADAPAN RUMAH TUANKU RAJA YUSOFF
DI ACHEH SEBELUM BERANGKAT KE MAKAM ALMARHUM DAUD SHAH DI ACHEH. ( 2011 ) |
MEREKA BERGAMBAR DI PUSARA SULTAN ISKANDAR MUDA MAHKOTA ALAM ACHEH ( 2011 ) |
Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam terkenal sebagai penakluk agung semasa peperangan tiga segi di antara Melaka ( Portugis ), Acheh dan Kerajaan Melayu Johor . Pernah mengalahkan Johor dalam satu perperangan dan membawa pulang Sultan Abdul Jalil dan Bendahara Tun Sri Lanang ke Acheh sebagai tawanan perang. Sultan dijadikan pengembala ayam sementara bendahara diangkat sebagai pendita. Makam Tun Sri Lanang terdapat di Bukit Sarikit 25KM dari Sheikh Kuala ( hujung tanjung pekan Acheh )
SULTAN ISKANDAR MUDA MAHKOTA ALAM ACHEH |
SALAH SEORANG ADIK BORHAN YANG MEMPUNYAI KEMIRIPAN WAJAH DENGAN SULTAN ISKANDAR MUDA MAHKOTA ALAM ACHEH ( TENGAH BAJU HITAM ) |
Terdapat dua jenis batu cincin yang mempunyai talian rapat dengan keturunan Yamtuan Sri Menanti dan susur galur raja-raja Acheh yang dimiliki oleh keluarga ini. Merupakan batu barakah dan keramat yang tidak boleh dipindah milik kepada sesiapa justru mengundang bala dan bencana.
CINCIN MERAH INI ADALAH MILIK YAMTUAN ANTAH DAN DITURUNKAN KEPADA TENGKU AMPAUN CHIK DAN AKHIRNYA KEPADA YAM CIK ( NENEK BORHAN ) |
CINCIN HIJAU INI PULA ADALAH PUSAKA KESULTANAN MELAYU ACHEH YANG DIWARISI OLEH DATUK BORHAN CIKGU MAT GHANTI |
Rujuk: Borhan Bin Muhammad Yusoff
Segala maklumat dan gambar diperolehi dari saudara Borhan.
Penerbitan maklumat ini telah mendapat restu dan izin daripadanya.
Sebarang pembetualan fakta akan dilakukan dari masa ke semasa
jikalau ada.
Sekian, terima kasih,
MIZAN BIN ISMAIL
08 MAC 2017
No comments:
Post a Comment