Sunday, 12 March 2017

Rombongan Ke Danau Toba - Indonesia ( 14 sehingga 16 Disember 2016 )

        Idea untuk bercuti di Danau Toba bermula apabila seorang rakan Whatsapp yang bernama Profesor Khirzan dan dibantu oleh saudara Mad. Som disambut baik oleh rakan-rakan yang lain.
        Penerbangan dari KL 2  ke Kualanamu International Airport berlepas jam 7.30 pagi dan mendarat sekitar 8.20 pagi waktu Indonesia ( 45 minit penerbangan ) pada 14 Disember 2016

BERGAMBAR DI LAPANGAN TERBANG KUALANAMU MEDAN


        Pada hari pertama dengan menaiki bas mini yang boleh memuatkan 18 orang penumpang, kami berlepas ke Parapat, bandar di tepi Danau Toba yang mengambil masa sehari suntuk untuk sampai dengan melalui jalan utama dan bukannya jalan curam di sekitar Danau Toba.



 BANDAR PARAPAT DI DANAU TOBA MEDAN INDONESIA


        Mengikut pemandu pelancong, bandar Parapat mendapat nama kerana penduduk di sana yang terdiri daripada enam suku kaum Batak suka membina rumah berdekatan antara satu sama lain. Maka dari sini terbitlah nama bandar Parapat yang bermaksud tinggal rapat-rapat.  Kami bermalam di Danau Toba Cottage  yang selesa dan sewaannya semalam sangat berpatutan.



        Pada hari kedua 15 Disember 2016 setelah bermalam di sana, rombongan kami bersarapan di cafe Danau Toba  sebelum kami berangkat ke Pulau Samosir dan sempat bergambar dengan rakan-rakan yang lain.

SARAPAN DI CAFE DANAU TOBA COTTAGE

BERGAMBAR DI TEPI KOLAM RENANG DANAU COTTAGE
BERSAMA MAD SOM DAN ISTERI


           Untuk ke Pulau Samosir, kami menyewa sebuah bot yang boleh membawa seramai 18 orang dengan selesa. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang satu jam.  Semasa dalam perjalanan, rombongan kami dihiburkan oleh seorang pemuda keturunan Batak yang menyanyikan pelbagai lagu tradisi kaum mereka sehinggalah rombongan kami sampai ke jeti pulau itu.  Dalam masa satu jam perjalanan, pemandu pelancong sempat menerangkan tentang fakta-fakta penting yang perlu diketahui pelancong mengenai Danau  Toba.
Panjang danau ialah 100 kilometer, lebar 30 kilometer dan kedalaman ialah 505 meter dan ianya masih aktif lagi.( menjadi danau  hasil dari letupan gunung berapi 5 juta tahun dahulu ).


MENAKI BOT DUA TINGKAT KE PULAU SAMOSIR SAMBIL DIHIBURKAN OLEH PEMUDA KAUM BATAK YANG MENYANYIKAN PELBAGAI LAGU TRADISI KAUM MEREKA.


         Apabila kami sampai di jeti Pulau Samosir dan menaiki tangga serta berkumpul di pintu gerbang sebelum memulakan lawatan, pemandu pelancong mengambil masa selama 1/2 jam menerangkan suku kaum Batak yang terdapat di pulau itu dan juga sekitar Danau Toba. Menurutnya terdapat enam suku kaum Batak iaitu Batak Toba, Batak Pak Pak, Batak Karo, Batak Simalungun, Batak Angkola dan Batak Mandailing.
Tiap-tiap suku mempunyai raja masing-masing yang memerintah kawasan mereka semenjak 5 hingga10 ribu tahun dahulu.  Untuk memudahkan rujukan, diberitakan kaum-kaum Batak ini sejarahnya bermula apabila seorang raja yang bernama " Si Raja Batak " yang mempunyai dua orang putera iaitu Guru Tateabulan dan Raja Isumbaou meneroka satu kawasan yang namakan " Di Pusuk Bukit Sianjur ". Di sinilah bermulanya kerajaan Batak di Pulau Samosir semenjak satu ribu tahun dahulu.  Suka diingatkan kaum-kaum Batak ini rata-rata beragama Kristian kecuali Batak Mendailing yang beragama Islam.

KEDUDUKAN PULAU SAMOSIR DI DALAM DANAU

BERKUMPUL DI PINTU GERBANG PULAU SAMOSIR UNTUK MENDENGAR TAKLIMAT DAN SEJARAH KAUM BATAK DI PULAU DAN SEKITAR DANAU.

  
         Di sini kami dibawa oleh pemandu pelancong ke perkampungan budaya kaum Batak.  Di antara acara yang melibatkan kami ialah menari dengan berpakaian khas yang disertakan sehelai selendang.


 PARA PESERTA DIJEMPUT MENARI TARIAN BATAK DI PERKAMPUNGAN BUDAYA MEREKA

          Kami diberitahu bahawa patung yang menari bersama kami ialah anak raja ketika itu yang mati dibunuh di dalam hutan dan diabadikan dalam bentuk sebuah patung yang boleh digerak-gerakkan ketika kami menari tarian Batak.


INILAH PATUNG ANAK RAJA YANG MATI DIBUNUH DI  DALAM HUTAN YANG DIABADIKAN DI TAMAN INI

          Selepas menari tarian Batak, rombongan kami dibawa pula melawat tanah perkuburan raja-raja Batak yang pernah memerintah ketika itu.


DI ANTARA KUBUR RAJA-RAJA BATAK YANG TERDAPAT DI SINI

SALAH SATU KUBUR RAJA BATAK YANG TERKENAL


            Selesai lawatan ke kubur raja-raja Batak, kami melalui suatu pintu keluar yang terukir beberapa gambar yang mempunyai maksud yang sangat signifikan kepada kaum mereka. Di atas sekali terdapat ukiran seekor cicak yang bermaksud bahawa orang Batak ini boleh hidup di mana sahaja dan tidak ada masalah untuk survival. Di bawahnya terukir dua set payu dara wanita yang cukup besar. Orang-orang Batak sangat mengagung-agungkan wanita yang gemuk dan mempunyai susu yang banyak supaya anak yang bakal dilahirkan mempunyai bekalan susu yang mencukupi untuk terus membesar dan sihat. Di mana-mana saja anda akan menemui perkataan Temok  yang bermaksud Gemuk dan berkaitan dengan keanggunan seseorang wanita bagi kaum Batak. Di bawah sekali ialah ukiran lelaki Batak atau mungkin putera raja.



 SEEKOR CICAK, DUA SET PAYU DARA WANITA DAN SEORANG LELAKI DI PINTU  KELUAR KAWASAN PERKUBURAN RAJA-RAJA BATAK



     Selesai lawatan rombongan kami menaiki bot semula untuk ke jeti bandar Parapat.  Selepas itu kami meneruskan perjalanan menuju ke bandar Medan melalui jalan sempit , curam dan berbahaya di lereng-lereng bukit sekitar Danau Toba. Kelihatan bumi Batak sangat subur dengan pelbagai tumbuhan komersial termasuklah tanaman kopi.

POKOK-POKOK KOPI YANG TUMBUH SUBUR DI LERENG-LERENG BUKIT SEKITAR DANAU

          
SECARA KEBETULAN SAYA MENEMUI HIMPUNAN TAHI MUSANG YANG KANDUNGANNYA ADALAH BIJI-BIJI KOPI. DIBERITAKAN KOPI INI AKAN DIKUMPULKAN DAN DIPROSES UNTUK MENJADI MINUMAN KOPI TAHI MUSANG YANG SANGAT LAZAT DAN BERHARGA.

            Dalam perjalanan menuju ke Medan, rombongan kami sempat singgah di sebuah ladang limau madu.  Di sini kami dibenarkan memetik sendiri limau-limau yang telah ranum dan membelinya .


KEBUN LIMAU MADU DALAM PERJALANAN PULANG KE MEDAN UNTUK BERMALAM

      Kami sempat singgah di suatu kawasan yang terkenal dengan kopi dan lain-lain minuman yang dipercayai dapat memberi tenaga sex yang luar biasa kepada peminumnya.


RUMAH REHAT SIMARJARUNGJUNG

DI SINI  TERDAPAT MINUMAN KOPI LUAR BIASA UNTUK KAUM LELAKI . CUBA PERHATIKAN UKIRAN ORANG BATAK YANG UNIK INI. ADA SESUATU YANG TERSEMBUNYI.

PEMANDANGAN YANG INDAH DAN SEJUK DI SINI

           Selepas berehat dan menikmati beberapa jenis minuman kesihatan, rombongan kami meneruskan perjalanan ke Brastagi sebuah penempatan kecil di kawasan pergunungan yang sejuk.  Dalam perjalanan ke sana kelihatan di sana sini pelbagai bentuk gereja di sepanajng jalan yang merupakan rumah ibadat kepada kaum-kaum Batak yang majoritinya beragama Kristian.  Pemandu pelancong kemudian memberitahu kami bahawa perkataan Brastagi berasal dari perkataan beras kerana penduduk di situ sentiasa menggunakan beras tak kira pagi, petang atau malam untuk dijadikan makanan. Maka timbullah ungkapan " beras lagi " yang akhirnya bertukar menjadi Brastagi. Selesai di situ kami melalui bandar Brastagi yang agak besar juga sebelum sampai ke bandar Medan untuk bermalam.



PEMANDANGAN INDAH DI PUNCAK KAWASAN PENEMPATAN KECIL BRASTAGI YANG MEMPERLIHATKAN SEBAHAGIAN KECIL DANAU TOBA

AIR TERJUN SIPISO-PISO KELIHATAN DARI PUNCAK KAWASAN TINGGI DI BRASTAGI


           Sebelum ke hotel untuk bermalam di Medan pada hari yang ke dua, kami singgah di masjid utama  di bandar Medan untuk solat asar. Tidak berapa jauh dari masjid ini terdapat sebuah istana peninggalan Kesultanan Deli pada masa dahulu. Tidak sempat melawat dan bergambar di sana.


MASJID RAYA AL-MASHUN DI MEDAN

 
MASJID RAYA AL-MASHUN DI MEDAN

          Pada hari ke tiga 16 Disember 2016 rombongan kami dibawa bersiar-siar di sekitar bandar Medan untuk membeli belah dan sebagainya sebelum berangkat pulang ke Malaysia.

No comments:

Post a Comment